-->

PENYAMPAI RADIO KETIGA DITEMBAK MATI DI FILIPINA

Wednesday, 11 December 2013



MANILA - Seorang lagi penyiar radio ditembak mati di Filipina hari ini, menjadikan ia kes pembunuhan ketiga membabitkan penyiar dan juga wartawan negara itu selepas kes terakhir berlaku dua minggu lepas.
Rogelio Butalib, 44, diserang seorang lelaki bermotosikal di bandar Tagum, selatan Pulau Mindanao, kata jurucakap polis wilayah, Ketua Inspektor Jed Clamor.
"Kami sedang meneliti kemungkinan bahawa dia dibunuh kerana profesionnya. Butalib merupakan pengulas stesen tempatan, Radyo Natin, dan mungkin mempunyai musuh kerana program yang dikendalinya memaparkan isu-isu tempatan, termasuk rasuah," kata Clamor.
Walau bagaimanapun, Clamor berkata, pembunuhan itu mungkin juga bermotifkan politik kerana mangsa sebelum ini telah dipilih bertanding jawatan daerah Oktober lalu.
Sebelum ini, pengacara rancangan bual bicara untuk radio DXFM, Michael Diaz Milo telah dibunuh di bandar Butuan pada Jumaat lalu, manakala seorang lagi penyiar, Joas Dignos, dibunuh di bandar Valencia pada 29 November.
Semalam, seorang lelaki bersenjata tidak dikenali telah bertindak menembak dan mencederakan seorang wartawan radio keempat, Jonavin Villalbal, di tengah bandar Iloilo. Keempat-empat suspek serangan tersebut masih dalam buruan polis.
"Ia amat menyedihkan kerana salah seorang daripada pengamal media kita telah dibunuh," kata Rowena Paraan, Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan Filipina. - AFP 
SUMBER KOSMO.

Sekali Lafaz Zain Saidin Sah Bergelar Suami Rozita Che Wan

Mengambil tempat di Setia City Convention Centre, Shah Alam pasangan ini bakal di’ijabkabulkan selepas beberapa tahun menyulam cinta sesama mereka dan menjadi tumpuan para peminat sepanjang hubungan mereka terjalin.
 Rozita Che Wan & Zain Saidin telah sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dan pasangan ini dinikahkan oleh Ketua Pendaftar Nikah Negeri Selangor, Ustaz Alwi Parman.
Rozita diwalikan oleh adiknya Roshidi Che Wan. Rozita Che Wan menerima sebanyak sembilan peti hantaran termasuklah cek wang hantaran RM23,200, mas kahwin RM9,300 serta cincin nikah bernilai RM93,000.
 -Sumber RotiKaya-





MAYAT WANITA SEPARUH BOGEL DITEMUI DI LUBANG SALURAN LIF

Saturday, 7 December 2013


KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita dalam keadaan separuh bogel ditemui dalam lubang saluran lif di Blok 11 Pangsapuri Sri Selangor, Jalan San Peng, di sini, kira-kira jam 7 malam semalam.

Mangsa berusia bawah 20-an itu dipercayai bukan penduduk pangsapuri berkenaan, namun sering kelihatan di situ dipercayai ke rumah teman lelakinya yang menetap di situ.

Bagaimanapun, sejak seminggu lalu, mangsa dan teman lelakinya tidak kelihatan sebelum mayat wanita terbabit ditemui pihak pengurusan pangsapuri yang menerima aduan daripada penduduk berikutan bau busuk ketika menaiki lif.

Penduduk yang mahu dikenali dengan Ong, 40-an berkata, dia sering terhidu bau busuk setiap kali menggunakan lif untuk ke rumahnya.

Akibat tidak tahan dengan bau yang meloyakan itu katanya, dia dan penduduk lain berpakat melaporkan kepada pihak pengurusan yang kemudian membuat pemeriksaan.

“Petang tadi (semalam) saya pergi ke pejabat pengurusan bersama rakan untuk mengadu hal ini dan pihak pengurusan memberitahu akan membuat pemeriksaan.

“Alangkah terkejutnya apabila mendapati bau busuk yang selama ini disangka bau sampah adalah bau mayat. Pihak pengurusan kemudian membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu, sepasukan lima anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Jentera yang tiba kira-kira 10 minit kemudian mendapati mayat terbabit sudah membengkak dalam keadaan terlentang di bahagian bawah saluran lif,” katanya.

Menurutnya, jantina dan punca kematian masih belum dikenal pasti. -Hmetro